Tidak kira walaupun ianya cumalah peralatan, teknologi, ataupun sekadar meja dan kerusi, setiap perniagaan memerlukan aset. Pembiayaan aset boleh membantu pemilik perniagaan mendapatkan apa yang mereka perlukan tanpa perlu mengeluarkan sebarang wang pendahuluan.
Apa itu pembiayaan aset?
Jika anda menjalankan perniagaan kecil, anda akan memiliki atau perlu memiliki sesuatu aset fizikal yang penting. Sama ada peralatan pejabat seperti kerusi dan meja, atau sesuatu yang lebih besar seperti mesin-mesin berat atau kenderaan, semuanya merupakan aset yang boleh mengembangkan serta menjayakan perniagaan anda.
Jadi, apa itu pembiayaan aset? Secara ringkas, ia boleh membolehkan perniagaan anda mendapatkan dana membeli atau menggantikan sesuatu aset dengan cara yang berpatutan. Secara lazimnya, ia adalah pinjaman yang digunakan khusus untuk membeli atau menyewa produk yang akan digunakan dalam perniagaan anda. Anda berkemungkinan memerlukannya untuk menggerakan perniagaan anda, maka inilah apa yang dimaksudkan dengan pembiayaan aset.
Apa itu aset?
Aset merupakan harta benda yang dimilik oleh perniagaan anda, yang tidak dijual sebagai produk. Bergantung kepada jenis perniagaan anda, segala jenis harta boleh dijadikan aset seperti komputer, teknologi, dan peralatan di pejabat anda. Jika anda mempunyai syarikat penerbitan kecil, mesin percetakan merupakan satu aset. Jika anda memiliki perniagaan katering, barangan seperti ketuhar dan peti sejuk merupakan aset anda. Jika anda memiliki ladang, kenderaan seperti traktor adalah aset anda.
Pinjaman berlandaskan aset sedia ada vs aset baru
Pembiayaan berlandaskan aset merujuk kepada pembiayaan semula aset yang dimiliki, dan mengambil atau menyewa aset baru. Pembiayaan semula aset yang dimiliki (dijelaskan di bawah) merujuk kepada tindakan anda terhadap peralatan yang sudah anda beli dan miliki. Ini merupakan kaedah yang akan anda ambil sekiranya anda ingin mendapatkan sebahagian daripada modal yang terikat dengan aset-aset tersebut, dengan menjualnya kepada pemberi pinjaman, dan pihak tersebut menyewakan kembali aset-aset itu kepada anda.
Satu lagi jenis pembiayaan bersandarkan aset membolehkan anda membeli atau memajak aset baru (seperti yang tertera di bawah). Kedua-dua jenis pembiayaan aset ini memberikan anda akses kepada aset-aset perniagaan.
Jenis-jenis pembiayaan aset
Sewa beli ataupun “hire purchase”: Ini adalah satu jenis pinjaman berteraskan aset yang biasa didengari. Menerusi sewa beli, anda boleh membeli aset dan melakukan bayaran secara ansuran. Ini membolehkan anda mendapatkan aset itu secepat mungkin, tetapi melanjutkan kos pembayaran untuk satu jangka masa yang ditetapkan. Setelah semua bayaran dilunaskan, aset tersebut milik anda sepenuhnya.
Kebiasaannya, perjanjian sewa beli sah dan bertahan di antara satu ke enam tahun. Bagi pinjaman aset jenis ini, anda diminta untuk membayar deposit terlebih dahulu sebelum membayar ansuran bulanan yang tetap. Anda juga bertanggungjawab ke atas kos penyelenggaran dan insuran aset.
Pajakan atau pembiayaan peralatan ataupun “equipment leasing or financing”: Jika anda tidak mahu membeli sesuatu aset, anda boleh menyewa dan membayar ansuran bulanan kepada penyewa dalam tempoh sewaan itu. Dalam urusan ini, anda tidak memiliki barangan atau aset tersebut. Namun, anda memperoleh faedah seperti boleh mendapatkan barangan itu secepat mungkin dan hanya perlu membayar sebahagian daripada jumlah bayaran sebagai bayaran pendahuluan.
Di akhir tempoh pajakan, anda mempunyai beberapa pilihan. Anda boleh terus menyewa barangan itu, membelinya pada harga yang dipersetujui, menambahbaik, atau memulangkan barangan itu apabila tidak lagi diperlukan. Salah satu faedah dalam menyewa peralatan adalah kebebasan anda dalam berurusan, yang memberikan manfaat sekiranya perniagaan anda berubah, anda memerlukan aset-aset tersebut, atau ingin menukar segala-galanya.
Pembiayaan semula asset ataupun “asset refinancing”: Jika anda telah melabur dalam sesuatu peralatan dan ingin mendapatkan sebahagian modal yang terikat dengan aset-aset tersebut, maka, pinjaman aset jenis ini adalah pilihan yang terbaik untuk anda. Pemberi pinjaman akan membeli peralatan anda sebelum menyewakannya kembali kepada anda untuk satu tempoh waktu yang dipersetujui. Kemudian, anda akan membuat bayaran tetap sepanjang tempoh yang diberi.
Pajakan kewangan dan pajakan modal ataupun “finance and capital leases”: Pajakan kewangan, ataupun dikenali sebagai pajakan modal merupakan satu jenis pembiayaan aset perniagaan yang terletak di antara proses sewa beli dan pajakan peralatan. Ia adalah pajakan jangka masa panjang bagi keseluruhan jangka hayat sesuatu aset itu. Anda boleh menggunakan aset itu sepenuhnya dan membayar nilai penuh aset tersebut untuk satu jangka masa, tetapi ianya bukanlah milik anda. Adakah kaedah ini bersesuaian dengan anda? Jika anda lebih selesa membuat bayaran ansuran dalam jumlah kecil untuk jangka masa panjang, maka, pertimbangkanlah kaedah ini.
Pajakan operasi ataupun “operating leases”: Perkara ini sama dengan sewaan pembiayaan biasa, tetapi syarikat yang menyewakan barangan mereka kepada anda bertanggungjawab ke atas kos penyelenggaraan.
Fakta-fakta ringkas berkenaan kemudahan pembiayaan aset
- Pembiayaan aset merupakan satu cara bagi mendapatkan wang tunai daripada aset sedia ada, atau membeli dan menyewa aset yang baru.
- Anda boleh mendapatkan aset-aset baru untuk perniagaan anda menerusi sewa beli dengan membuat bayaran ansuran dan memiliki barangan tersebut selepas tempoh yang ditetalkan, atau menerusi sewaan peralatan, di mana ansuran bulanan perlu dilunaskan tetapi anda tidak memiliki barangan itu.
- Anda boleh memperoleh jumlah yang lebih daripada aset sedia ada. Pembiayaan aset membenarkan anda mendapatkan sebahagian modal yang terikat dengan aset-aset anda, dengan menjual peralatan atau barangan itu kepada pemberi pinjaman. Kemudian, peminjan akan menyewakan peralatan itu kembali kepada anda.
- Pembiayaan aset merupakan alternatif yang fleksibel bagi pinjaman perniagaan kecil. Ia membolehkan anda mendapatkan dan menggunakan peralatan penting tanpa sebarang bayaran pendahuluan.
- Kekurangan pembiayaan aset adalah ianya lebih mahal berbanding belian tunai sesuatu barang itu.
Kesimpulan
Pembiayaan aset memboleh anda memaksimakan sepenuhnya penggunaan segala aset yang anda miliki, atau membeli dan menyewa aset baru untuk perniagaan anda. Tentukan apakah jenis pembiayaan aset korporat atau pinjaman pembiayaan aset yang sesuai dengan perniagaan anda. Kemudian, sentiasa ingat tempoh masa untuk segala bayaran balik dan pastikan anda hanya membuat bayaran untuk aset-aset yang diperlukan.
Peringatan: Segala maklumat di dalam catatan ini tidak mewakili dan menjurus ke arah nasihat perniagaan, undang-undang, cukai, ataupun perakaunan. Segala maklumat, isi, dan bahan di dalam catatan tersebut sekadar perkongsian informatif umum. Anda seharus mendapatkan nasihat dan khidmat peguam, penasihat perniagaan, atau penasihat cukai berkenaan isu-isu tersebut.