Anda sedang merancang untuk mengambil pinjaman perniagaan?
Di bawah ini adalah 7 ’homework’ yang anda perlu buat sebelum mengambil pinjaman perniagaan :
-
Tentukan tujuan pinjaman diambil
Apakah tujuan anda membuat pinjaman perniagaan tersebut?
Ini penting kerana tujuan pinjaman ini dibuat akan menentukan jenis pinjaman perniagaan yang anda akan ambil dan setiap jenis pinjaman mempunyai syarat-syarat yang berlainan.
Antara jenis pinjaman perniagaan yang ditawarkan oleh institusi kewangan adalah pinjaman untuk pembelian hartanah, pinjaman untuk pembelian aset tetap, pinjaman untuk perbelanjaan modal kerja dan pinjaman untuk modal pusingan.
Selain itu, bila anda sudah tentukan tujuan pinjaman hendak diambil ia akan membantu anda mengenalpasti kemungkinan keperluan perniagaan anda sebenarnya boleh dibiayai dengan kemudahan pembiayaan kewangan yang lain seperti kemudahan pembiayaan kontrak, overdraf, kredit pusingan dan pemfaktoran.
-
Tetapkan jumlah pinjaman yang ingin diambil
Berapa jumlah pinjaman perniagaan yang anda perlukan?
Setiap jenis pinjaman perniagaan mempunyai had pembiayaan yang berbeza dan jumlah pinjaman yang diambil akan menentukan jumlah pembayaran balik bulanan pinjaman anda. Lagi besar jumlah pinjaman yang diambil, lagi tinggi jumlah pembayaran balik bulanan yang perlu anda bayar.
Namun perlu diingat, walaupun permohonan pinjaman anda berjaya tidak semestinya anda akan mendapat jumlah yang diminta. Adakalanya jumlah pinjaman yang diluluskan adalah lebih rendah.
Ini kerana bank akan membuat penilaian risiko terhadap perniagaan anda termasuk dari segi keupayaan membayar balik bulanan pinjaman.
Sebagai contoh, anda memohon pinjaman perniagaan sebanyak RM500 ribu. Namun, penilaian bank mendapati aliran tunai perniagaan anda tidak mencukupi untuk membayar jumlah pembayaran balik bulanan pinjaman. Maka anda akan ditawarkan dengan jumlah pinjaman yang lebih rendah bersesuaian dengan kemampuan aliran tunai perniagaan anda.
-
Periksa rekod pembayaran pinjaman lain
Adakah anda pernah mengambil pinjaman perniagaan sebelum ini dan masih membuat pembayaran?
Jika ya, ia boleh memberi kelebihan sekiranya rekod pembayaran anda selama ini baik.
Sebaliknya jika ada rekod bayaran balik pinjaman bulanan yang tertunggak, selesaikan terlebih dahulu bayaran tertunggak tersebut sebelum membuat permohonan pinjaman baru.
Kesemua ini akan memberi kesan terhadap apa yang dinamakan skor kredit (score credit) iaitu suatu kaedah penarafan yang digunakan oleh bank untuk menentukan tahap kelayakan kredit perniagaan anda. Semakin tinggi skor kredit perniagaan anda, semakin cerah harapan untuk permohonan pinjaman perniagaan anda diluluskan.
Kebiasaannya, bank tidak mempunyai masalah untuk memberi pinjaman walaupun perniagaan anda sudah ada pinjaman lain jika aliran tunai perniagaan anda memuaskan. Tetapi jika rekod pembayaran pinjaman tersebut tidak memuaskan, ia akan memberi kesan kepada permohonan pinjaman perniagaan baru anda walaupun aliran tunai perniagaan anda memuaskan.
-
Pastikan dokumen perniagaan lengkap
Adakah anda menyimpan setiap dokumen perniagaan dengan lengkap setiap tahun?
Setiap permohonan pinjaman perniagaan wajib disertakan dengan dokumen perniagaan terutamanya dokumen berkaitan kewangan perniagaan untuk dinilai dan diproses.
Bagi perniagaan berstatus Sdn Bhd, antara dokumen berkaitan kewangan yang perlu disediakan adalah:
- Akaun Diaudit (sekurang-kurangnya 3 tahun terkini)
- Akaun Pengurusan yang terkini
- Penyata Bank (sekurang-kurangnya 6 bulan terkini)
- Resit Cukai syarikat tahun terkini
Bagi perniagaan pemilikan tunggal atau perkongsian pula, dokumen berkaitan kewangan yang perlu disediakan adalah:
- Akaun Pengurusan (sekurang-kurangnya 3 tahun terkini)
- Penyata Bank (sekurang-kurangnya 6 bulan terkini)
- Borang Pulangan Cukai Pendapatan (sekurang-kurangnya 3 tahun terkini)
Dokumen di atas amat penting kerana ia membolehkan pihak bank membuat penilaian yang wajar terhadap kedudukan kewangan perniagaan anda.
Sekiranya dokumen tersebut tidak ada atau tidak lengkap, maka anda perlu mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk melengkapkannya.
-
Pencapaian kewangan yang meyakinkan
Sejauh mana prestasi pencapaian kewangan perniagaan anda selama ini?
Walaupun turun naik dalam angka pendapatan dan keuntungan perniagaan adalah sesuatu yang biasa, namun apabila ingin mengambil pinjaman, pencapaian kewangan yang baik dan konsisten adalah amat penting bagi meningkatkan kemungkinan permohonan anda diluluskan.
Perlu diingat, bank juga adalah entiti perniagaan dan produk utama mereka adalah hutang atau pinjaman.
Sepertimana entiti perniagaan yang lain yang bermatlamatkan keuntungan, bank juga perlu menjana pendapatan untuk menampung kos operasi dan membuat keuntungan. Kerana itu mereka hanya ‘menjual’ produk kepada mereka yang mampu ’membeli’nya.
Mereka yang mampu 'membeli' produk pinjaman bank ini adalah individu dan perniagaan yang mempunyai kedudukan kewangan yang meyakinkan. Bank tidak akan mengambil risiko memberi pinjaman kepada perniagaan yang berpotensi tidak berupaya membayar balik pinjaman tersebut kerana itu akan merugikannya.
Namun ada alternatif lain jika pencapaian prestasi kewangan perniagaan anda belum meyakinkan atau perniagaan masih baru beroperasi. Anda masih boleh mengambil pinjaman dari badan atau agensi kerajaan berkaitan keusahawanan seperti Credit Guarantee Corporation (CGC), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
-
Buat pelan perancangan perniagaan
Adakah pinjaman yang anda ingin ambil adalah untuk membiayai projek atau perniagaan baru?
Pinjaman perniagaan untuk tujuan di atas memerlukan anda untuk menyediakan pelan perancangan perniagaan sebagai dokumen tambahan.
Melalui pelan perancangan perniagaan, bank akan membuat penilaian terhadap daya maju projek atau perniagaan baru tersebut. Antara perkara yang perlu disentuh dalam pelan perancangan adalah:
- Latar belakang syarikat
- Barisan pengurusan
- Projek yang ingin dijalankan atau produk/servis yang akan dipasarkan
- Kajian pasaran
- Analisa pesaing
- Strategi pemasaran dan jualan
- Unjuran penyata kewangan
Pelan perancangan perniagaan yang kuat akan dapat menarik minat bank dan menguatkan lagi permohonan pinjaman perniagaan anda.
-
Pertimbangkan pelbagai pilihan pinjaman perniagaan yang ditawarkan
Tidak pasti pinjaman perniagaan mana yang mahu diambil?
Sebelum membuat keputusan akhir, perlu untuk anda membuat perbandingan di antara pelbagai produk pinjaman perniagaan yang ditawarkan oleh pelbagai bank dan institusi kewangan yang lain di dalam pasaran. Hanya setelah membuat perbandingan, anda akan dapat memilih pakej pinjaman perniagaan yang sesuai.
Ini kerana setiap produk pinjaman perniagaan tersebut mempunyai ciri-ciri tersendiri seperti syarat-syarat permohonan dan kadar keuntungan/faedah yang berbeza.
Jika anda memerlukan bantuan, FundDana mempunyai akses kepada pelbagai produk pinjaman perniagaan yang ditawarkan di dalam pasaran. Dan dengan pengalaman luas FundDana dalam menguruskan proses permohonan pinjaman perniagaan untuk pelbagai jenis perniagaan, anda akan dipastikan membuat pilihan yang menepati keperluan perniagaan anda.