Aliran wang tunai jamin kejayaan

Walaupun semua usahawan memulakan perniagaan dengan harapan untuk berjaya, tidak semua yang mencapai apa yang dihasratkan. Kita sudah melihat sekian banyak perniagaan yang gagal, tidak kira sama ada perniagaan besar, sederhana atau kecil.

Yang buka kilang pembuatan pernah gagal. Yang buka kedai runcit juga gagal. Yang berniaga nasi lemak di gerai pun boleh gagal. Malah, perniagaan peringkat korporat pun tidak terlepas dari kegagalan.

Kegagalan sesuatu perniagaan boleh berlaku atas sebab-sebab yang mungkin di luar kawalan usahawan. Umpamanya krisis matawang dan kegawatan ekonomi yang berlaku pada 1997 hingga 1999 telah melumpuhkan banyak perniagaan.

Apabila berlaku sesuatu yang diluar kawalan seperti ini, memang sukar untuk bertahan melainkan perniagaan itu mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk menyerap kesan buruk yang melanda.

Namun, kita perhatikan dalam keadaan ekonomi yang umumnya baik pun masih ada perniagaan yang gagal. Kita tahu bahawa untuk berjaya, usahawan perlu bersedia dari segi ilmu pengetahuan mengenai bidang yang diceburi sebelum memulakan perniagaan. Tetapi apabila perniagaan mula beroperasi, terdapat banyak perkara lain yang perlu diberi perhatian bagi menjamin kejayaan.

Satu daripada perkara penting yang perlu diberi perhatian untuk menjayakan perniagaan ialah menyediakan rancangan perniagaan yang kemas dan menyeluruh. Rancangan perniagaan ini seharusnya digunakan sebagai panduan operasi dan pengukur pencapaian perniagaan.

Sebaiknya rancangan perniagaan disediakan untuk tempoh tiga hingga lima tahun. Paling tidak, setiap perniagaan perlu ada rancangan perniagaan tahunannya.

Menyediakan rancangan perniagaan bukanlah sekadar penyediaan belanjawan. Rancangan perniagaan perlu menggariskan semua aspek utama operasi perniagaan seperti strategi pemasaran dan jualan, merancang kapasiti pengeluaran dan bekalan, keperluan guna tenaga serta keperluan peralatan dan kelengkapan.

Rancangan perniagaan juga perlu menganalisis kekuatan dan kelemahan perniagaan serta ancaman dan peluang yang dihadapi. Semua andaian dan jangkaan akhirnya perlu dibentangkan dalam bentuk belanjawan kewangan yang meliputi pengiraan kos, aliran wang tunai, penyata untung rugi dan kunci kira-kira.

Sekadar menyediakan rancangan perniagaan dan belanjawan tidak akan menjamin kejayaan jika tiada kawalan yang secukupnya ke atas operasi perniagaan. Kawalan yang berkesan terhadap pengurusan boleh dicapai dengan memastikan belanjawan dipatuhi.

Keberkesanan kawalan juga membabitkan pematuhan kepada semua tatacara dan peraturan operasi perniagaan. Pengurusan yang tidak dikawal dengan baik boleh menyebabkan berlakunya pembaziran dan ketidakcekapan dalam perbelanjaan.

Dalam pelbagai aspek pengurusan, yang perlu diberi perhatian utama ialah pengurusan kewangan, terutama pengurusan aliran wang tunai. Sudah banyak kali terbukti bahawa kelemahan dalam pengurusan aliran wang tunai adalah satu daripada punca utama yang menggagalkan perniagaan.

Usahawan perlu faham bahawa perniagaan pada asasnya melibatkan satu kitaran perniagaan yang bermula dengan wang sebagai modal. Modal ini digunakan bagi mendapatkan bahan mentah atau barangan untuk menyediakan produk yang akan dijual.

Setelah melalui proses tambah nilai, produk dijual untuk mendapatkan balik modal dengan sedikit keuntungan. Adalah penting memastikan jualan dapat menghasilkan keuntungan untuk mendapat aliran wang masuk yang lebih besar daripada aliran wang keluar. Wang yang kembali ini seterusnya digunakan semula untuk pembelian bahan seterusnya.

Perniagaan akan kecundang jika kitaran perniagaan ini terhenti. Kitaran ini akan terhenti jika aliran wang tunai terjejas. Oleh itu adalah amat penting untuk memastikan aliran wang tunai tidak terjejas.

Untuk itu kita perlu pastikan setiap jualan berjaya dikutip dan diterjemahkan kembali kepada wang tunai. Jika pembeli dibenarkan berhutang, maka kita perlu padankan penangguhan aliran masuk wang tunai ini dengan mendapat tempoh kredit daripada pembekal.

Inilah asas pengurusan aliran wang tunai iaitu sekurang-kurangnya memadankan tempoh masa aliran wang tunai diantara kita dengan pembekal dan diantara kita dengan pembeli.

Keadaan yang terbaik ialah jika kita dapat memendekkan tempoh kutipan berbanding tempoh pembayaran. Tentulah keadaan menjadi sebaliknya jika tempoh kutipan lebih panjang daripada tempoh pembayaran.

Pengurusan aliran wang tunai tidak membezakan perniagaan kecil atau besar. Sama ada berniaga nasi lemak di simpang jalan atau membuka kedai di taman perumahan atau menguruskan sebuah kilang pembuatan yang besar, asasnya sama.

Ketiga-tiga jenis perniagaan ini beroperasi atas prinsip asas kitaran perniagaan. Mungkin nilai yang terbabit berbeza, namun ketiga-tiga perniagaan ini akan menemui nasib yang sama iaitu kegagalan jika tidak mengurus aliran wang tunai mereka dengan baik.

Sememangnya ada faktor lain yang boleh menyebabkan kegagalan sesuatu perniagaan. Tetapi satu lagi punca kegagalan yang sering berlaku dan harus ditonjolkan sebagai peringatan ialah keadaan dimana usahawan hilang tumpuan kerana terlalu ghairah untuk mengembangkan perniagaannya.

Semangat keusahawanan yang tinggi kadang kala mendorong usahawan menjadi terlalu berani untuk mencuba beberapa perkara pada masa yang sama. Seharusnya usahawan pandai mengimbangi kemampuannya dan sentiasa bertindak sekadar yang termampu.

Walaupun diketahui bahawa kejayaan perniagaan banyak bergantung kepada diri usahawan itu sendiri, pengetahuan mengenai pengurusan adalah amat penting. Kemampuan dan kefahaman tentang perancangan dan pengurusan kewangan terutamanya, tidak boleh diambil mudah.

Memang semua aspek pengurusan penting dan perlu diberi perhatian untuk mengurus perniagaan dengan jayanya. Namun, pengurusan kewangan yang baik akan memberikan perbezaan yang dikehendaki.

Datuk Mohd Nasir Ahmad

Datuk Mohd Nasir Ahmad adalah seorang Akauntan Bertauliah dan Felo Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) United Kingdom.

Beliau mempunyai lebih 40 tahun pengalaman korporat melalui syarikat seperti Tenaga Nasional Bhd, termasuk pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Permodalan Kebangsaan Bhd dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), mantan presiden Malaysian Institute of Accountants (MIA), mantan Pengerusi Media Prima Berhad dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas untuk beberapa syarikat.