Peluang graduan berniaga luas

DALAM suku tahun kedua seperti sekarang ini, para mahasiswa tahun akhir di pusat pengajian tinggi dalam negara biasanya sudah pun selesai menduduki peperiksaan akhir mereka. Malah, ada yang mungkin sudah mendapat keputusan peperiksaan mereka.

Mungkin ada pula yang sedang menjalani latihan industri sebagai memenuhi keperluan kursus. Yang pasti, dipertengahan tahun nanti, ribuan siswazah akan tamat pengajian mereka dan keluar dari pusat pengajian tinggi. Mereka ini akan sibuk mencari pekerjaan sebagai permulaan membina kerjaya dan kehidupan.

An important quot to highlight here.

Tiga atau empat dekad lalu, bekerja makan gaji, terutama dengan kerajaan atau badan kerajaan adalah pilihan utama sebahagian besar orang Melayu. Ini berlaku pada semua peringkat, tak kira sama ada mereka berpelajaran tinggi atau rendah.

Makan gaji dengan kerajaan memberi satu perasaan terjamin dan selamat. Kecenderungan bekerja dengan kerajaan ini berlaku kerana keadaan sosio-ekonomi ketika itu tidak memberi banyak pilihan kepada orang Melayu.

Kalau hendak makan gaji dengan pihak swasta pun bukan mudah kerana majoriti perniagaan di tangan syarikat asing atau milik bukan Melayu. Maka berlaku keadaan dimana orang Melayu kurang selesa hendak bekerja dengan syarikat bukan Melayu, manakala syarikat berkenaan pula tidak begitu memerlukan tenaga kerja orang Melayu.

Dalam pada itu, ada juga orang Melayu yang memilih untuk berniaga dan tidak makan gaji. Tetapi mereka ini biasanya terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan. Ramai pula dikalangan mereka ini menjadi usahawan kerana terpaksa disebabkan kurang kelayakan dan kebolehan untuk makan gaji.

Mereka yang menjadi usahawan kerana terpaksa ini selalunya tidak begitu bersedia dari segi kemahiran beniaga untuk mengharungi cabaran keusahawanan. Kekurangan persediaan ini menyebabkan mereka terpaksa belajar melalui kesilapan dan pengalaman.

Bagi yang lambat belajar dan lambat menyesuaikan diri dengan budaya keusahawanan, maka sukar bagi mereka untuk berjaya sebagai usahawan.

Sebenarnya, orang Melayu sejak ratusan tahun yang lalu memang sudah berdagang dan berniaga. Tetapi budaya berniaga dan berdagang di kalangan orang Melayu mula hilang dengan ketibaan penjajah yang cenderung menjadikan orang Melayu sebagai orang kerajaan.

Penjajahan selama lebih 400 tahun menyebabkan orang Melayu lupa bahawa keusahawanan telah lama ujud sebagai satu kerjaya.

Untuk mengimbangi kedudukan ekonomi antara kaum, Dasar Ekonomi Baru telah diperkenalkan pada tahun 1970. Ini memberi kesedaran dan peluang kepada orang Melayu dan Bumiputera lain untuk menjadikan keusahawanan sebagai satu kerjaya.

Berikutan itu, pelbagai langkah diperkenalkan oleh kerajaan untuk menggalakkan keusahawanan, terutama kepada Bumiputera.

Antaranya ialah penubuhan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pada 1991 yang bertujuan membangun usahawan Bumiputera. Penekanan oleh kerajaan terhadap pembangunan usahawan secara umum menjadi lebih ketara dengan pembentukan Kementerian Pembangunan Usahawan pada 1995.

Wawasan untuk menjadi negara maju menjelang 2020 pula telah menjuruskan dasar kerajaan ke arah meningkatkan perindustrian dan perdagangan. Dasar kerajaan ini memberi pertumbuhan pesat kepada ekonomi negara. Ini secara langsung menambah peluang perniagaan dan melahirkan ramai usahawan daripada pelbagai kaum.

Untuk memberi persediaan dan pengetahuan kepada golongan Bumiputera tentang ilmu berkaitan perniagaan dan pengurusan, Institut Teknologi MARA (ITM) yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM) mula menawarkan kursus-kursus diploma dan ijazah yang berkaitan dengan pengurusan perniagaan dan pelbagai kursus lain yang berguna dalam bidang perniagaan kira-kira 40 tahun lalu.

Pusat pengajian tinggi juga rancak memperkenalkan kursus yang memberi pendedahan luas kepada perniagaan. Gabungan perkembangan dalam pendedahan ilmu, penyediaan bantuan kewangan dan peluang perniagaan yang semakin banyak ekoran kemajuan ekonomi telah menyebabkan lebih ramai orang, terutama di kalangan Bumiputera mula memahami dan meminati bidang perniagaan dan keusahawanan.

Proses pendedahan kepada ilmu berkaitan perniagaan ini juga membuatkan lebih ramai orang secara sedar memilih keusahawanan sebagai kerjaya mereka. Semakin ramai yang mula melihat perniagaan dan keusahawanan sebagai sumber rezeki yang lebih meyakinkan.

Berbalik kepada keadaan hari ini, mencari pekerjaan yang setanding kelulusan amat mencabar, terutama kepada graduan universiti dan kolej. Dilema yang dihadapi ialah majikan mencari mereka yang sudah berpengalaman. Graduan yang belum pernah bekerja pula susah hendak dapatkan pengalaman jika tidak diberi peluang bekerja.

Kepada yang masih gagal mendapat pekerjaan seperti dicari, kita cadangkan supaya mempertimbangkan keusahawanan sebagai kerjaya. Memang tidak mudah untuk terus berniaga. Banyak persoalan timbul seperti di mana nak dapat modal, bagaimana mengurus perniagaan dan sebagainya. Kesimpulannya, tidak ada jalan ringkas.

Mungkin cara terbaik ialah melalui proses perantisan, iaitu dengan bekerja sebagai pekerja biasa atau pembantu di gedung atau kedai dalam sektor yang diminati. Sambil bekerja, pelajarilah cara berniaga yang diamalkan oleh tuan punya perniagaan.

Tempoh perantisan harus digunakan sepenuhnya untuk memahami dan mendalami bagaimana perniagaan diuruskan. Pengalaman setahun dua sebagai pekerja biasa boleh memberi keyakinan dan semangat untuk berniaga sendiri.

Apabila sudah bersedia dari segi pengetahuan tentang perniagaan yang diminati, ada banyak agensi kerajaan dan institusi kewangan yang menyediakan pelbagai bantuan kewangan, bimbingan dan khidmat nasihat kepada bakal usahawan.

Menceburi bidang perniagaan dengan persediaan yang rapi akan memberi peluang baik untuk berjaya. Tambahan pula jika diurus secara profesional dan berdisiplin, kejayaan memang tidak mustahil.

Sebenarnya, peluang mencari rezeki melalui perniagaan sudah seharusnya lebih besar berdasarkan hadis Rasullullah s.a.w. bahawa sembilan daripada sepuluh sumber rezeki adalah melalui perniagaan.

Datuk Mohd Nasir Ahmad

Datuk Mohd Nasir Ahmad adalah seorang Akauntan Bertauliah dan Felo Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) United Kingdom.

Beliau mempunyai lebih 40 tahun pengalaman korporat melalui syarikat seperti Tenaga Nasional Bhd, termasuk pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Permodalan Kebangsaan Bhd dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), mantan presiden Malaysian Institute of Accountants (MIA), mantan Pengerusi Media Prima Berhad dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas untuk beberapa syarikat.