Bakal usahawan mesti bijak pilih perniagaan

Tidak berapa lama dahulu, orang berniaga umumnya dipanggil ahli perniagaan. Bergantung kepada tahap perniagaan, mereka mungkin digelar penjaja atau pekedai dan sebagainya. Tetapi sekarang nampaknya semua orang yang berniaga digelar usahawan. Kita perhatikan istilah usahawan ini mula digunakan dengan meluas untuk mereka yang berniaga sekitar 10 hingga 15 tahun kebelakangan ini. Apakah ada perbezaan antara usahawan dan ahli perniagaan?

Secara umumnya kita boleh takrifkan usahawan sebagai seseorang yang mampu mewujudkan peluang perniagaan kepada dirinya. Dalam konteks itu, bolehlah kita katakan usahawan adalah seseorang yang mengusahakan sesuatu perniagaan, sama ada secara bersendirian atau mungkin dengan rakan kongsi.

Namun ada pihak yang lebih khusus dalam mentakrifkan usahawan. Mereka ini menganggap usahawan seharusnya hanya merujuk kepada seseorang yang mencipta atau menghasilkan sesuatu yang baru atau unik dan berjaya meniagakan hasil ciptaannya. Pandangan ini menganggap bahawa bukan semua ahli perniagaan itu usahawan, walaupun semua usahawan adalah ahli perniagaan.

Untuk memudahkan perbincangan, kita menganggap usahawan dan ahli perniagaan itu adalah sama. Yang ingin kita perkatakan kali ini ialah bagaimanakah seseorang yang hendak menjadi usahawan harus menyediakan dirinya. Memang banyak persediaan perlu dibuat, tetapi beberapa persediaan asas amat penting supaya keputusan untuk berniaga dibuat atas landasan yang kukuh dan pertimbangan yang wajar.

Manusia biasanya melakukan sesuatu kerana didorong oleh perkara tertentu. Begitu juga halnya dengan keputusan hendak menjadi usahawan. Sudah semestinya ia dibuat dengan penuh kesedaran mengenai apakah yang mendorong kepada keputusan yang sedemikian.

Faktor yang mendorong seseorang menjadi usahawan amat penting kerana ia akan mencorak sejauh mana kesungguhan seseorang itu meneruskan perniagaannya. Ada beberapa faktor yang dianggap boleh menjadi pendorong yang positif dan menguatkan azam dan semangat usahawan.

Bakal usahawan perlu bertanya kepada diri sendiri mengapa dia hendak ingin menjadi usahawan. Adakah untuk memenuhi keinginan kepada pencapaian yang tinggi dan cemerlang? Atau untuk memenuhi keinginan menguasai dan mengawal keadaan dan orang sekeliling? Adakah hendak berniaga kerana mencari sesuatu yang lebih mencabar daripada apa yang sedang dilakukan? Atau adakah semata-mata kerana mencari kemewahan dan kekayaan? Atau adakah hendak berniaga kerana memenuhi keperluan keluarga?

Keputusan untuk menjadi usahawan yang didorong oleh faktor seperti dinyatakan lebih berkemungkinan menjadikan usahawan lebih bersungguh dan berdaya tahan. Usahawan yang berniaga kerana ingin menikmati pencapaian yang tinggi, atau untuk mendapat kepuasan berkuasa mengawal keadaan serta menentukan hala tuju hidupnya, atau untuk mencari sesuatu yang lebih mencabar sudah tentu pada asasnya adalah orang yang bermotivasi tinggi dan berani mengambil risiko. Dia juga adalah seorang yang berani meletakkan sasaran pencapaian yang lebih tinggi dalam kebanyakan hal. Usahawan dalam kategori ini amat jelas mengenai sebab musabab dia menceburi bidang keusahawanan. Besar kemungkinan dia terus membuat keputusan selanjutnya berasaskan matlamat asal yang mendorongnya untuk berniaga.

Selain menentukan apa yang mendorong kita untuk menjadi usahawan, kita juga perlu mengambil kira beberapa perkara lain sebagai persediaan asas sebelum mula berniaga. Walaupun kita sudah jelas tujuan kita ingin berniaga serta yakin dengan minat kita, ini tidak bermakna kita sudah cukup sedia memulakan perniagaan. Pada peringkat ini kita perlu terlebih dahulu memutuskan apakah bidang perniagaan yang hendak diceburi.

Pengalaman banyak menunjukkan ramai orang yang ingin berniaga. Tetapi sebahagian besar diantara mereka tidak tahu apakah bidang perniagaan yang harus diceburi. Mereka asyik bertanyakan kepada orang lain apakah perniagaan yang elok dilakukan. Pemilihan jenis perniagaan adalah satu keputusan besar dan hendaklah dibuat sendiri oleh bakal usahawan dengan mengambil kira minat dan pengetahuannya mengenai bidang yang diminati.

Pemilihan bidang perniagaan tidak boleh dibuat secara ikut-ikutan sahaja, iaitu mengikut perniagaan orang lain yang berjaya tanpa mengetahui selok-belok bidang itu. Inilah satu daripada kesilapan besar yang sering dilakukan sebahagian usahawan kita. Kejayaan orang lain dalam sesuatu perniagaan tidak menjamin kita juga akan berjaya dalam bidang yang sama melainkan kita tahu dan mampu melakukan semua yang dilakukan oleh orang yang berjaya.

Selepas menentukan jenis perniagaan, perkara utama ialah memastikan diri kita mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai perniagaan yang dipilih. Ini bermakna usahawan perlu berusaha mendapatkan segala maklumat yang berkaitan dengan bidang perniagaan pilihannya. Usahawan perlu tahu perkara asas mengenai bidang pilihannya iaitu maklumat mengenai produk atau perkhidmatan yang hendak ditawarkan, pasaran yang disasarkan, persaingan, sumber bekalan atau pengeluaran, struktur kos, penetapan harga, kadar keuntungan, keperluan guna tenaga, kelakuan tertentu dalam industri yang hendak diceburi dan keperluan perundangan yang berkaitan.

Untuk mendapat segala maklumat yang disebutkan tadi, memerlukan ilmu dan usaha. Tahap ilmu dan usaha yang diperlukan akan bergantung kepada saiz perniagaan yang hendak dimulakan. Perniagaan yang besar akan memerlukan maklumat yang lebih banyak dan kompleks berbanding perniagaan kecil.

Kesimpulannya sesiapa yang ingin menjadi usahawan perlu mengkaji dan menilai kesediaan dirinya sendiri untuk berniaga. Sememangnya banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Tetapi pada peringkat awal, persediaan asas yang perlu ialah kesedaran dan ketentuan mengenai mengapa ingin berniaga, kesanggupan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan mengenai perniagaan yang dipilih dan kesediaan untuk berusaha keras memenuhi cita-cita sendiri. Persediaan awal yang rapi dan kemas akan menjadikan usahawan lebih bersedia dan yakin mengharungi dunia perniagaan.

Datuk Mohd Nasir Ahmad

Datuk Mohd Nasir Ahmad adalah seorang Akauntan Bertauliah dan Felo Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) United Kingdom.

Beliau mempunyai lebih 40 tahun pengalaman korporat melalui syarikat seperti Tenaga Nasional Bhd, termasuk pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Permodalan Kebangsaan Bhd dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), mantan presiden Malaysian Institute of Accountants (MIA), mantan Pengerusi Media Prima Berhad dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas untuk beberapa syarikat.